Sungguh! hidup ini sememangnya adalah pergiliran antara senyum dan tangis.
Dia Yang Maha Esa telah menentukan demikian dalam janji-Nya. Kita hanyalah insan, akuilah...kita hamba yang tersangat kaya dengan kemiskinan.
Jangan dibiar hatimu dipanggang resah! Janganlah jiwamu berterusan dibakar gelisah. Fahamilah akan hakikat hidup ini. Lihatlah siratan hikmah dari setiap ketentuan. Senyum dan tangis dipergilir adalah untuk kita memperoleh kabaikan berpanjangan. Kita senyum lantaran hidup yang bermandi kenikmatan. Kita ceria kerana kemewahan yang dikecapi. Segalanya adalah curahan nikmat daripada-Nya. Yang Maha Pemurah!
Nah.. Jadilah insan terbaik!
Dengan kenikmatan yang diperolehi, maka bersyukurlah! Jangan terlalai dengannya. Jangan teralpa sewaktu menikmatinya. Janga terlupa kepada Allah yang memberi nikmat di saat engkau mengecap anugerah nikmat daripada-Nya.Awas! Jangan terjebak di jaring kelalaian sewaktu diri diselimut keindahan.
Wah! Kita resah pula lantaran sengsara yang ditanggung. Kita hilang pertimbangan sewaktu dilambung gelora ujian. Kita menjadi tidak tentu arah lantaran musibah yang bertandang. Memanglah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Di saat kita di uji, terasa segalanya membahang dan menyeksa. Segalanya serba menyakitkan.
Namun, JADILAH INSAN TERBAIK.!
Dalam gelombang ujian hidup yang menyeksa ada maksud tersirat yang hebat daripada-Nya. Dalam sengsara yang ditanggung kerana dihempas badai ujian, ia bermaksud supaya kita beroleh pahala kesabaran!
Lihatlah hikmah daripada kejadian. Perhatikan yang tersirat. Ujian diberi adalah untuk menghapus koleksi dosa-dosa dalam kehidupan. Malah ukuran cinta Allah adalah sangat ajaib. Semakin hebat cinta-Nya pada para hamba, semakin dahsyat curahan ujian akan menimpa.
DUNIA MEDAN AIR MATA
Ya! Kenapa? Ayuh berfikir....
Seawal kelahiran manusia adalah disulam dengan teriak tangisan. Berkuak awal kehidupan diiringi dengan tangisan dan air mata. Tidak ada yang lahir di muka bumi ini bersama ketawa dan hilai ria.
Begitulah yang bakal ditempuhi dalam langkahan di kembara kehidupan. Segalanya adalah curahan musibah dan tangisan. Demikian pula perjalanan akhir kehidupan manusia akan ditutup dengan tangisan juga. Sewaktu jenazah telah terkujur di kasur duka, sekeliling adalah esak dan air mata!
Benarlah! Dunia adalah medan air mata...
Justeru, fahamilah dengan sebaiknya maksud yang tersirat daripada setiap kehendak-Nya. Allah berfirman; "Dialah menjadikan mati dan hidup untuk menguji kamu siapa yang paling baik amalannya." (at-Tahrim : 2)
Bergembiralah dalam memijak kerikil-kerikil yang sukar dalam kembara ini. Sahara kehiduapan yang membahang ini adalah janji kenikmatan di puncak kesabaran. Maka, rasailah kasih-Nya di saat engkau derita, lantaran kasih Illahi itu sememangnya akan ditemui dalam kepedihan musibah.
Untuk itu, janganlah kita terlalu sukar buat mengisi kotak-kotak dalam silang kata kehidupan ini. Dengan nikmat yang diperolehi, syukurlah. Dengan ujian yang dihadapi, sabarlah! Sungguh! hidup ini memang begitu....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
bermakna.
Alhamdulillah! INsya ALlah bermakna buat semua =)
Post a Comment